Sunday, March 27, 2011

Syarat dan cara menafsir Al Quran

Seorang mufassir Alquran perlu memiliki kualifikasi (syarat-syarat). Para ulama telah menyebutkan syarat-syarat yang harus dimiliki oleh setiap mufassi r seperti berikut:

a. Syeikh Jalaluddin as-Suyuthi:

Syarat bagi seorang nufassir adalah menguasai ilmu nahwu, ilmu saraf, ilmu lughah, ilmu isytiqaq, ilmu ma’ani, ilmu bayan, ilmu badi’, ilmu qiraat, ilmu kalam, ilmu ushul fiqh, ilmu asbabun nuzul, ilmu qashas, ilmu nasikh mansukh, ilmu hadits dan ilmu mauhibah.

b. Syeikh Manna’ al-Qaththan:

Secara ringkas, syarat dan tata cara menafsirkan adalah berakidah yang benar, bersih dari hawa nafsu, menafsirkan lebih dulu Alquran dengan Alquran, mencari penafsiran dari sunnah, kerana al-Sunnah, pendapat para sahabat dan dari tabi’in, mengetahui bahasa Arab dengan semua cabangnya, mendalami pokok-pokok ilmu yang bertalian dengan Alquran (‘ulum al-Quran) dan memiliki ketajaman fikiran.

Cara menafsirkan Alquran.

Cara menafsirkan Alquran yang benar dan baik adalah:

a. Menafsirkan Alquran dengan Alquran kerana kemungkinan di suatu tempat ayat Alquran telah diuraikan di tempat lain.

b. Menafsirkan Alquran dengan keterangan Al-Sunnah kerana sunnah berfungsi sebagai penjelasan ayat Alquran.

c. Menafsirkan Alquran dengan pendapat para Sahabat apabila tiada penafsiran dalam sunnah kerana mereka lebih mengetahui tentang tafsir Alquran, menyaksikan qarinah dan keadaan ketika Alquran diturunkan dan mereka mempunyai pemahaman (penalaran) sempurna, ilmu yang shahih dan amal yang soleh.

d. Menafsirkan Alquran dengan pendapat Tabi’in apabila tiada penafsiran dalam Alquran, sunnah mahupun dalam pendapat para sahabat menurut sebahagian besar para ulama.

e. Menafsirkan Alquran menurut kaedah-kaedah bahasa Arab dengan segala cabangnya kerana Alquran diturunkan dalam bahasa Arab dan pemahaman tentangnya amat bergantung pada penguraian kosa kata (mufradat) lafaz-lafaz dan pengertian-pengertian yang ditunjukkan menurut letak kata-kata dalam rangkaian kalimah.

Syarat-Syarat Ta’wîl.

Para ulama usul telah menetapkan syarat-syarat takwil agar takwil yang dihasilkan dapat diterima (maqbul) dan sahih. Ada 4 (empat) syarat iaitu:

a. Takwil yang dihasilkan harus sesuai dengan makna bahasa Arab, makna syariat, atau makna ‘urfi (makna kebiasaan orang Arab).
Misalnya, takwil kata quru’ (dalam Qs. al-Baqarah [2]: 228) dengan erti haid atau suci adalah takwil sahih kerana sesuai dengan makna bahasa Arab untuk quru’. Takwil yang tidak sesuai makna bahasa, syariat, atau ‘urfi, tidak diterima.

b. Takwil harus berdasarkan dalil yang sahih dan râjih (kuat) misalnya mengkhususkan nash umum berdasarkan dalil pengkhusus (takhshish), atau memberikan batasan (taqyid) nash mutlak berdasarkan dalil yang men-taqyîd-kan.Takwil yang tanpa dalil, atau dengan dalil tetapi dalilnya lemah (marjuh), atau musawi (sedarjat kekuatannya) dengan kata yang ditakwil, maka takwil tersebut tidak diterima.

c. Kata yang ada memang memungkinkan untuk ditakwil (qabil li at-ta’wil).
Misalnya, katanya adalah kata umum yang dapat di-takhshîsh, atau kata mutlak yang dapat diberi taqyîd, atau kata bermakna hakiki yang dapat diertikan secara makna majazi (metaforis), dan sebagainya. Jika takwil dilakukan pada nash khusus (bukan nash umum),maka ianya tidak diterima.

d. Orang yang menakwil memiliki keilmuan untuk melakukan takwil. Takwil yang dilakukan oleh orang bodoh (jâhil) dalam bahasa Arab atau ilmu-ilmu syariat (al-ma’ârif al-syar‘îyyah) tidak dapat diterima.Orang yang hendak melakukan takwil haruslah mujtahid yang memiliki ilmu-ilmu bahasa Arab dan ilmu-ilmu syariat.





Rujukan:

Al-Suyuthi, al-Itqan fi ‘Ulum Alquran, (Beirut, Daar el-Fikr, 2005).
Asy-Syaukani, Irsyâd al-Fuhûl, (Beirut, Dar el-Fikr, tt).
Al-Amidi, Al-Ihkâm fi Ushul al-Ahkam, (Beirut, Dar el-Fikr, tt).
Al-Qurthubi, Al-Jâmi‘ li Ahkam al-Qur’an, (Beirut, Dar al-Fikr, tt).
‘Abd al-‘Azhim al-Zarqany, Manahil al-‘Irfan fi Ulum Alquran, (Beirut, Dar al-Fikr, tt).
‘Abd al-Qadir Manshur, Mausu’ah ‘Ulum Alquran, (Suriyah, Dar al-Qalam al-‘Araby, cet ke-1 2002).
Al-Jurjani, At-Ta‘rifat, (Beirut, Dar al-Fikr, tt).
‘Ali al-Shabuni, al-Tibyan fi Ulum Alquran, (Beirut, Alam al-Kitab, cet. pertama, 1985).
Badr al-Din al-Zarkasyi, al-Burhan fi ‘Ulum Alquran, (Kairo, Dar al-Turats, cet ke-3, 1984).
Khadim al-Haramain, Alquran dan Terjemahnya 1971.
Manna’ al-Qatthan, Mabahits fi Ulum Alquran, (Mansyurat al-‘Ashr al-Hadits, 1973).
M. Husain al-Dzahaby, al-Tafsir wa al-Mufassirun, (Beirut, Syirkah Dar al-Arqam, tt).
Wahbah Az-Zuhaili, Ushûl al-Fiqh al-Islâmî, (Beirut, Dar el-Fikr, tt).

No comments:

Post a Comment