Sunday, January 30, 2011

Jangan ditangisi apa yang bukan milikmu!!

Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai dan kenyataan yang tidak sesuai dengan harapan.
Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis zikir yang akan memberikan ketenteraman jiwa.
Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar pelbagai keinginan dan impian. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak serta mempunyai keinginan. Tetapi bukan semua yang kita inginkan dapat dicapai. Sesungguhnya tidak mudah menyedari bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus yang lain.
Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa hakikatnya semua itu pemberian Allah sehingga membuatnya sombong dan bertindak sewenang-wenangnya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan betul. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita.
Apa yang memang menjadi milik kita di dunia, samada rezeki, jawatan atau kedudukan, pasti Allah akan berikan. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, kita tidak akan mampu miliki; walaupun ia nyaris menghampiri kita atau meskipun kita bermati-matian berusaha mendapatkannya.
"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)
Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!

Thursday, January 27, 2011

Aku hipokrit???

"Eleh, kau pakai tudung pun bukannya ikhlas. Hipokrit!"
"Bajet baik la konon nak nasihat aku! Munafik la weyh!"
"Eh, sejak bila jadi pak lebai ni? Dah pandai cakap halal haram ni? Munafik betul!"
Sakit telinga mendengar. Sakit lagi dalam hati. Kerana itu, ramai yang tersungkur. Hasrat mahu berubah, terkubur hanya kerana 'suara keldai' ini. Inilah cabaran orang yang mahu berubah. Pasti dia akan terdengar cakap-cakap buruk dari manusia sebangsa dan seagama dengan mereka ini.
Persoalan saya, adakah orang yang mahu berubah itu orang hipokrit?
Tidak! Sama sekali bukan munafik orang yang mahu berubah. Sebaliknya, tindakan untuk berubah itu tindakan orang bijak dan berani. Maka,
izinkan saya menyatakan penghargaan saya kepada anda yang sedang berusaha untuk berubah. Anda seorang wira! Anda seorang pejuang! Dan anda seorang yang cantik di mata Tuhan.
Janganlah berhenti. Dalam banyak tempat dalam Al-Quran, Allah menyatakan bahawa manusia akan diuji. Diuji, dan terus diuji hingga diyakini, siapa yang dalam kalangan kita yang benar-benar 'bulat' hatinya untuk mencari wajah-Nya.
Ujian ini Allah timpakan kepada kita seperti tangga. Selepas kita memanjat satu tangga, kita akan memanjat satu lagi. Kemudian, satu
lagi, dan satu lagi. Hinggalah kita mencapai puncak iaitu wajah redha-Nya. Antara ujian yang paling berat ialah penerimaaan masyarakat, ahli keluarga dan kawan-kawan kita.
Bagi yang lemah, pasti mereka akan berhenti memanjat hanya kerana label munafik atau hipokrit yang diberikan orang. Tuduhan yang
tersangat salah! Saya tertarik dengan satu hadis:
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya: "Bacalah al-Quran dan menangislah, dan jika tidak boleh menangis buat-buatlah menangis" - Hadis riwayat At-Tabrani.
Saya paling tertarik dengan perkataan 'buat-buatlah menagis'. Bukankah pada zahirnya, 'buat-buat' tu bererti berlakon? Adakah kita mahu
menipu Allah?
Tidak. Sama sekali tidak. Sesungguhnya Allah itu Maha Tahu dan Paling Faham akan manusia. Dia tahu, bahawa untuk manusia menjadi hamba yang baik, dia tidak akan dapat terus jadi baik. Dia harus melalui proses yang panjang. Sedikit demi sedikit, perubahan akan berlaku.
Allah tahu segalanya. Dia tahu bahawa kita ada limit atau batasan. Kita tidak akan mampu terus berubah dengan mendadak. Kita hanya akan mampu berubah, sedikit demi sedikit. Kerana itu, Allah tak memberatkan kita dengan 'mesti menangis', sebaliknya Allah sediakan kita
keringanan, jika kita tak mampu, buat-buatlah menangis.
Dengan erti kata lain, jika kita tidak mampu jadi manusia yang terbaik, maka kita latihlah diri menjadi manusia yang baik! Lama-kelamaan, pasti kita akan dapat jadi yang terbaik. Bukankah mentol yang ada pada hari ini adalah hasil daripada ratusan kegagalan Thomas Edison? Saya pasti, kalau Thomas Edison berjiwa kecil, pasti dia akan putus asa apabila dicaci.
Untuk mencapai kesempurnaan iman, jangan takut mencuba menerima cacian.
Kesimpulan
Jangan peduli cakap orang. Bukankah kita mahu berubah kerana Allah? Allah pasti akan suka, jika kita mahu berubah. Cuma syaitan saja yang tak suka. Jadi, rasanya tidak melampau jika saya kata manusia yang menghalang orang buat baik, dia tu macam syaitan. Ada bantahan?
Selepas ini, jika ada lagi orang kata 'kau munafik', maka balaslah, "So what?"

Sunday, January 16, 2011

Harapan: isi tong sampah atau sekadar catatan dalam diari??

Masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah dan selamat tahun baru untuk kalendar masihi. Tahun berubah dan sentiasa menjadi baru. Manusia juga berubah menjadi menjadi baru cuma apa yang menjadi baru itu kita tidak tahu.

Sebenarnya ramai orang Malaysia yang jarang duduk dan muhasabah diri di tahun baru. Mungkin terlalu sibuk dengan kesibukan yang kita sendiri cipta. Itu adalah salah satu punca kegagalan ramai orang yang tidak mempunyai pembaharuan sungguhpun tahun itu sentiasa berubah menjadi baru.

Hari ini kalau disuruh kita menyenaraikan apa yang kita mahu ubah untuk tahun baru, maka kita akan mengambil pen dan kertas lantas menyenaraikan apa yang bermain di minda. Ia mungkin mengambil masa 5 minit dan siaplah satu senarai perkara yang mahu kita ubah sempena tahun baru. Tapi percayakah anda jika saya katakan bahawa sepantas senarai itu dibuat, sepantas itu juga senarai itu dilupakan? Maka lima minit selepas itu, senarai itu hanya menjadi sehelai kertas biasa yang mungkin esok hari akan berkubur didalam tong sampah kerana ditiup angin jatuh ke lantai dan dikutip bibik dalam rutin harian mengemas rumah.

Ini berlaku kerana kurangnya penghayatan. Kita bukan orang yang tidak pandai atau tidak tahu berusaha. Di tempat kerja atau didalam kerjaya, kita mantap dalam menghayati pekerjaan dan mampu membuat pencapaian. Barangkali kita terlupa kehidupan juga memerlukan masa untuk kita luangkan baginya untuk penghayatan.

Saya sendiri sudah bertahun-tahun berazam hendak berubah tetapi sampai ke hari ini tidak ada banyak perubahan. Saya sendiri menasihatkan orang supaya membuat perubahan tetapi diri saya sendiri kadangkala terlupa fokus kepada azam perubahan yang saya nukilkan sendiri. Adakah saya seorang yang tidak tahu menghayati?

Mungkin hari ini saya berkongsi satu penulisan sebagai pesanan kepada pembaca dan diri sendiri bahawa kita amat kurang meluangkan masa untuk menghayati diri. Maka dengan kurang penghayatan tersebut, jarang kita dapat melihat kelemahan diri. Apabila kita jarang dapat melihat kelemahan diri, maka kita tidak sedar kita ini makhluk biasa yang tidak lari dari kesilapan. Kerana itulah juga kita jarang sedar akan pengabaian yang sukar menganjakkan kita untuk meningkat ke tahap yang lebih baik.

Saya amat yakin anda semua tahu perubahan itu bukan cerita yang senang untuk dilakukan. Kerana itu ia memerlukan penghayatan yang mana daripada penghayatan itu kita akan mengesan mengapakah perubahan yang kita senaraikan saban tahun tak pernah berubah. Oleh itu dalam penyenaraian kali ini, berikan sedikit tumpuan dan usahlah menyenaraikan terlalu banyak perkara. Biarlah ia hanya satu atau dua tetapi ia mesti dilakukan.

Maal Hijrah itu membawa mesej hijrah kepada umat Islam. Kita tidak boleh berhenti berhijrah. Hari ini kalau anda berkata 'saya adalah saya selamanya' maka jadilah anda umpama tunggul kayu yang menanti reput. Meletakkan polisi sedemikian rupa seolah kita adalah orang berpendirian adalah satu kaedah yang salah. Berpendirian haruslah beralasan dan alasan itu haruslah sesuatu ke arah kebaikan. Alasan yang membawa kepada kerosakan bukanlah satu pendirian yang baik sungguhpun ia juga adalah sejenis pendirian.

Hari ini kalau anda seorang yang seksi dan ingin berubah menjadi seorang yang belajar menutup aurat, maka letakkan kemahuan itu didalam hati. Kalau anda seorang suami yang egois dan mahu menjadi penyayang, kuatkan keinginan itu. Jika anda seorang yang lalai agama dan ingin kembali tali Allah, kukuhkan kehendak itu. Maka selepas ada keinginan, maka proses seterusnya adalah memahami jalan perlaksanaannya. Disinilah juga anda akan menghayati dan memahami pancaroba, cabaran serta kemungkinan sukar dalam mencapainya. Disinilah kita dapat bersedia untuk menghadapinya dan tidak terkial-kial dalam merealisasikan perubahan ini.

Jangan biarkan lagi senarai kita menjadi isi tong sampah. Jangan biarkan lagi harapan kita menjadi cerita sahaja. Jangan biarkan lagi perubahan baik yang dimahukan terkandas ditengah jalan. Bersamalah kita berusaha dan berdoa semoga tahun mendatang ini membawa lebih keberkatan, perubahan dan ketenangan dalam kehidupan.

Terimalah sebuah pantun kampung

Anak kecil berselepang kain,

Hendak mengutip si buah sentul,

Jangan cakap tak serupa bikin.

Sampai ke tua tak jadi betul.

Friday, January 14, 2011

Hati yang tak pernah sedih..

Hati manusia, walau sekeras mana pun pasti akan lembut. Tapi semua itu atas kehendak yang Berkuasa...

Dia tidak pernah menangis apabila dikutuk dan dikritik di hadapan khalayak. Baginya, menangis itu menunjukkan kelemahan. Walaupun hatinya terdetik, "Ya Allah, apakah dosaku sampai aku diperlakukan sebegini."

Dia tidak pernah mengadu kepada sesiapa kecuali seorang teman yang dia amat percaya. Baginya, biarlah semua itu dipendam sendirian. Biarlah semua orang tidak tahu penderitaan dan sengsara yang ditanggung. Atas sebab apa? Manusia hanya pandai menilai melalui paras rupa, tingkah laku, cara percakapan tapi jauh di sebalik hati tiada siapa yang tahu.

Entah mengapa semakin hari dirinya merasakan kehilangan sesuatu. Bukannya kekasih ataupun sesiapa yang disayangi. Tapi kegembiraan yang selama ini dinikmati semakin jauh dibawa arus. Semua orang yang mengenali tahu dia seorang yang sabar, kuat dan jarang menunjukkan kemarahan dan kelemahan di hadapan sesiapa. Tapi hati manusia bergelar wanita tiada siapa tahu atau cuba selongkari. Dia terkenal di sekolah antara pelajar yang agak nakal, bukan daripada segi disiplin tapi nakal dari segi tingkah laku, suka kacau orang, suka gegarkan kelas, suka buat orang ketawa malah suka buat orang sakit hati. Tapi itu cuma sementara, untuk menutup kelemahan yang ada. Baginya teman di sekolah dan di sisi tidak sama. Di sekolah tempat dia bergembira tanpa kenal perasaan sedih tapi bila tiba waktu pulang perasaan sebak menanti di hati. Kenapa?

Kerana dia bukannya tidak pernah sedih....

Hampir setiap hari dirasakan masa sungguh pantas berlari. Sehinggakan setiap malam merintih pada-Nya memohon kemaafan dan keampunan atas dosa yang dilakukan. Baginya diri belum cukup sempurna selagi ada mata-mata yang memandangnya jelek. Atas gaya jalan seperti lelaki sehingga ada guru di sekolah berkata, "Brutal dia ni." Tapi apakan daya, cara jalan dia memang sebegitu. Bukannya dia tidak pernah cuba untuk memperbaiki.

Biarlah orang berkata apa yang mereka suka, sebab mereka ada hak untuk berkata-kata. Tetapi prinsip hidupnya tidak pernah lari. Dia tidak pernah kenal apa itu cinta manusia, dia hanya mencari cinta Ilahi. Itulah yang perlu dicari untuk perjalanan akhirat nanti. Janji Allah itu pasti. Tapi dia juga masih ingin mengenal kasih sayang. Dia seorang wanita yang amat memerlukan kasih sayang. Dalam hidupnya penuh duka walaupun di mata temannya dia seorang yang ceria.

Pernah suatu ketika, hatinya hancur dek kehilangan insan yang amat disayangi. Insan bernama ayah yang amat penyayang lagi bertanggungjawab. Walaupun waktu kecil dahulu dia sering dirotan, dicili akibat kenakalan. Tahun ini genap tiga tahun pemergian insan tersebut. Terlalu pantas masa berlalu. Masih berkesempatan dia menjenguk ke daerah pusara ayahandanya. Tahun ini juga sudah empat kali dia tidak dapat mencium tangan dan dahi, mendakap penuh mesra ayahnya. Masih dirindui gelak dan suaranya walaupun ketika itu ayahnya sedang sakit.

Banyak lagi kehilangan yang berlaku dalam hidupnya. Rakan-rakan seperjuangan yang sama-sama menuntut ilmu, sahabat yang turut sama mengikuti program, adik-adik yang mengikuti perkembangan dirinya. Namun, dia sering kecewa dan hampa apabila tangan yang dihulur, ludah yang diterima. Nilai persahabatan yang dihulurkan, keegoaan, kesombongan dan kerendahan yang diterimanya.

Sehinggakan sampai satu masa, dia merajuk lalu pergi meninggalkan semua. Atas alasan apa? "Biarlah aku sendirian, kerna mereka lebih suka aku pergi."

Kini, dia cuba bangkit kembali untuk menebus kekhilafan diri. Namun, sekali lagi dia jatuh terduduk sehingga memaksa untuk memaut pada sesuatu. Apakan daya, kudratnya hanya tinggal sisa. Sisa yang tinggal sementara untuk meniti alam sana. Atas sebab apa dia sedemikian rupa?

Rupanya kasih yang ingin dicurahkan, ukhuwah yang ingin disemaikan disalah tafsir. Malahan dakwah yang diketengahkan, nasihat yang diberikan dibalas dengan kesombongan dan keegoaan seorang manusia. Sekali lagi kekecewaan dan hiba menusuk hati.

"Andai sekali ini nasihatku tak diperlukan lagi, aku reda ya Allah. Sungguh aku tahu aku belum cukup sempurna. Maka, aku reda."

Saturday, January 1, 2011

Masuk Syurga Dan Neraka kerana lalat..


Imam Thariq bin Syihab menceritakan sebuah kisah yang menarik dalam pengajiannya. Ada dua orang pengembara yang memasuki daerah yang didiami oleh satu kaum yang menyembah berhala. Kaum itu memiliki berhala yang disembah dan dikeramatkan. Orang yang melewati daerah itu harus memberi korban sebagai persembahan untuk berhala itu. Jika tidak, mereka tidak akan dibiarkan keluar hidup-hidup dari daerah itu.

Dua orang itu turut mengalami masalah yang sama. Mereka mesti memberikan persembahan pada berhala tersebut. Lelaki pertama sangat takut kepada kematian. Oleh kerana tidak memilki apa-apa, akhirnya dia menangkap seekor lalat untuk dipersembahkan pada berhala tersebut.

Berlainan pula halnya dengan lelaki yang kedua ini. Dia memiliki keimanan yang teguh. Dia tidak mahu berkorban untuk berhala itu meskipun dengan seekor lalat. Dia memilih untuk taat pada ajaran agamanya. Berkorban hanya boleh dilakukan sesuai dengan syariat.

Memberi korban untuk berhala meskipun dengan seekor lalat, adalah perbuatan menyekutukan Allah. Keengganannya menyebabkan dia dibunuh. Lelaki itu masuk syahid kerana mempertahankan akidahnya dan masuk syurga.

Adapun lelaki yagn satunya akhirnya meneruskan perjalanan tetapi baru sahaja dia berjalan berpuluh langkah, dia digigit ular berbisa di tengah padang pasir dan akhirnya mati. Dia mati dalam keaadaan musyrik dan dimasukkan ke neraka kerana menyekutukan Allah dengan seekor lalat yang dipersembahkan pada berhala.