Sunday, February 6, 2011

Samb. simbiosis dalam kehidupan i

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT." (Riwayat At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Ya, istidraj. Nikmat yang diberi oleh Allah untuk menyesatkan lagi, bukan mendekatkan mereka kepada Rabb nya.

Bagaimana pula Simbiosis kita dengan ibu bapa kita? Di mana doa-doa kita untuk mereka setiap hari? Tingginya martabat ibu dan bapa di dalam Islam sehingga dizahirkan dalam Quranul Karim.

"Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Dengan demikian Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah tempat kembalimu(untuk menerima balasan)." (Luqman 31:14)

Terdapat juga potongan ayat dari Quranul Karim juga yang telah menjadi doa basahan bagi kebanyakan kita. Cuma mungkin tidak perasan bahawa ianya datang dari Surah Al-Isra'.

Firman Allah:
"Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku ketika waktu kecil." (al- Isra'17:24)

Persoalannya, bagaimana kita hendak mendapat ilmu-ilmu dan nasihat-nasihat yang dapat mendorong kita ke arah kebaikan dan keselamatan dunia dan akhirat?

Jawapan yg biasa didengari ialah, "Balik kepada Al-quran dan Hadis."

Tetapi, secara jujur jawapan ini tidak memberi solusi yang optimal kepada sang penanya. Dia memerlukan jawapan yang praktikal, jawapan yang logik dan jawapan yang tidak terlalu ideal bagi hamba yang sedang mencari-cari cahaya Ilahi.
Cadangan saya, berbalik kepada topik asal.

"S I M B I O S I S"

Carilah dan berinteraksilah dengan hamba-hamba yang dapat mendekatkan kita dengan Allah. Wujudkan hubungan erat lagi istimewa dengan manusia-manusia ini.

Bukanlah kesempurnaan mereka yang kita nilai, tetapi kesungguhan mereka untuk mendekatkan diri kepada Rabbul 'Alamin yang kita hargai,
Mereka juga manusia biasa yang tidak ma'sum.
Ringankan mulut untuk bersuara, hayunkan kaki untuk melangkah dan kuatkan hati untuk membuat keputusan untuk bersama mereka.

Di dalam sistem inilah kita belajar bersabar akan pelbagai perkara, belajar berkorban untuk kepentingan ummah dan belajar memperbaiki diri perlahan-lahan.
Sekurang-kurangnya dihadapan Allah s.w.t di akhirat kelak, apabila ditanya,
"Apa yang telah kau usahakan untuk mendekatkan diri kepada-Ku dan membantu agama-Ku?"
Kita mungkin boleh menjawab dengan senyuman,

"Ya Allah, aku telah bersimbiosis dengan hamba-hamba-Mu yang sentiasa cuba memperbaiki diri mereka, dan kami juga telah berusaha melakukan beberapa perkara dan kaedah agar lebih ramai manusia bersimbiosis dengan kami agar kami semua menjadi sebahagian daripada hamba-hamba-Mu yang memenangkan agama-Mu."

Ya Allah ya Tuhanku, terimalah pengorbanan kami dan usaha kami.

No comments:

Post a Comment