Thursday, March 17, 2011

Hak terhadap ibu bapa selepas mereka meninggal dunia

1. Mengurus jenazahnya dan mendoakan keduanya kerana ini merupakan bakti seorang anak kepada kedua orang tuanya.
2. Beristighfar (memohonkan ampun kepada Allah Ta’ala) untuk mereka berdua kerana merekalah orang yang paling utama untuk didoakan agar Allah Ta’ala mengampuni dosa-dosa mereka dan menerima amal baik mereka.
3. Menunaikan janji dan wasiat kedua orang tua yang belum dipenuhi semasa hidup mereka, dan melanjutkan amal-amal baik yang pernah dilakukan sepanjang hidup mereka kerana pahala akan terus mengalir kepada mereka berdua apabila amal baik tersebut dilanjutkan.
Salah satu kesan yang sangat menakutkan apabila hutang itu tidak dapat diselesaikan. Ini terjadi apabila orang yang masih menanggung hutang itu mati atau meninggal dunia dalam keadaan hutang yang belum habis diselesaikan dan ahli-ahli waris tidak mahu bertanggungjawab untuk menyelesaikan hutang si mati. Orang yang mati dalam keadaan masih menanggung hutang, maka rohnya tidak akan sampai naik ke langit. Ia hanya akan terapung-apung di antara langit dan bumi, sedangkan roh orang mukmin yang lain dapat naik ke langit untuk kembali ke tempat asalnya sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
Dari Abi Hurairah R.A katanya: Rasulullah S.A.W. bersabda : “Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.’’ (Riwayat Al-Imam Al-Tarmizi).

4. Memuliakan teman atau sahabat dekat kedua orang tua.
Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Sesungguhnya bakti anak yang terbaik adalah seorang anak yang menyambung tali persahabatan dengan keluarga teman ayahnya setelah ayahnya meninggal”. (HR. Muslim)
5. Menyambung tali silaturrahim dengan kerabat kedua ibu bapanya.
Rasulullah S.A.W. bersabda, “Barang siapa yang ingin menyambung silaturrahim ayahnya yang ada kubur, maka sambunglah tali silaturrahim dengan saudara-saudara ayahnya setelah dia meninggal”. (HR. Ibnu Hibban).

Semoga petunjuk Rasulullah S.A.W. dalam berbakti kepada kedua orang tua di atas dapat kita wujudkan dalam kehidupan kita kerana ini merupakan hak mereka berdua sekaligus sebagai kewajiban kita sebagai anak yang soleh untuk melakukannya. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment